Konvoi Ziarah Ulama' : Hari Pertama
Tepat pada jam 11 malam 23/10/08, kami bertolak dari bumi Puncak Alam ke Serambi Mekah, Negeri Kelantan Darul Naim. ‘Hilux’ dan ‘Innova’ menjadi tunggangan rombongan seramai 6 sahabat, memecut laju ke Pantai Timur melalui laluan Simpang Pulai – Gua Musang.
Perjalanan yang diselang seli dengan hujan renyai-renyai, menambah lagi kesejukan kami semasa berada di puncak laluan ke Cameron Highland. Namun atas semangat juang yang kental, kami berazam untuk menjayakan misi 'Jelajah Ziarah Ulama’ ini dengan jayanya.
Hari Pertama : 24 Oktober 2008
Konvoi kali ini yang diketuai oleh Hj Zai telah singgah solat subuh di Masjid Taman Hajjah Halijah, Chabang Tiga Batu Jong, Kuala Krai pada jam 6 pagi.
Kami tiba di Kota Bharu, Bandaraya Islam, jam 7.30 pagi. Lalu bersarapan di Medan Pasar MPKB. Tersenyum lebar tauke Cekal Muda kerana hajatnya dapat dipenuhi. Kami buat keputusan cari hotel yang berdekatan dengan tempat tazkirah Tuan Guru, lalu Hotel Raudhah jadi pilihan setelah terpikat pandang pertama. ‘Check-in’ pukul 8.30 pagi dan terus turun mendengar kuliah di hadapan bangunan PAS negeri.
Kuliah Tok Guru bermula 9.30 pagi. Suasana di sini penuh sesak dengan orang ramai yang dahagakan ilmu. Kuliah berakhir pada jam 10.30 pagi.
Setelah selesai bersihkan diri, kami bersiap ke Masjid Muhammadi untuk solat Jumaat jam 12.30 tengahari. Sempat ronda-ronda sekitar masjid, segala macam minyak ada dijual, minyak mengkarung saja yang Pak Mus tak jumpa. Selesai solat Jumaat, berkesempatan bersua dan bersalaman dengan Mufti Perak, Datuk Harussani yang bersolat di masjid yang sama.
Kami makan tengahari di restoran tepi sungai Kelantan, ikut kata penyelaras program kami, Ustaz Khairul, situ boleh tahan gak daging bakar. Memang sedap daging bakarnya.
Hampir tiba Asar, kami bergerak dari Hotel Raudhah ke Pulau Melaka. Sempat solat Asar berjemaah di belakang Tok Guru. Selesai solat, Tok Guru sudi meluangkan masa hingga 30 minit bersama kami. Banyak persoalan dah terungkai dek jawapan Tok Guru yang penuh kiasan dan pengajaran. Antara kata-kata Tok Guru, “tulis dalam blog kena ingat Dosa dan Pahala…”. Banyak yang lupa akan hal ni.
Makan malam kami telah diatur oleh Hj Zai untuk bersama berdiskusi dengan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, YB Mohd Zaki Ibrahim. Tempatnya di Pantai Sri Tujuh, Tumpat. Banyak isu terkini dibincangkan. Lepas ni kami merancang jemput YB Zaki turun ke Puncak Alam pulak, kami belanja makan kat kedai Zam Fasa 3.
Jam pukul 12 mlm, kami pulang ke hotel diiringi hujan renyai-renyai tandanya malam ni tidur nyenyak.
. Read More...